glitter

NUR AMIRAH

Friday, November 25, 2011

AURAT SEBENAR WANITA ISLAM



Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak perempuanya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu sikap golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga. Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya. Nauzubillahiminzalik! Moga Allah melindungi kita semua.

Hadith daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim no. 3971) Dalam riwayat Imam Malik, ada sambungan hadith ini iaitu: “…Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Al-Muwatta’, no. 1421)

Kakak Memakai Baju Adik 8 Tahun

Perbincangan kita kali ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut dalam hadith di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya.

Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian ketat.

Wahai kaum Hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya. Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri dan menarik perhatian para pelanggan.

Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith ini adalah isim fa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan.

Kesan Negatif

1. Menyusahkan para isteri

Golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah tangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.

2. Gangguan seksual terhadap golongan lelaki

Ini adalah satu bentuk gangguan yang menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadith tersebut menyatakan: “Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat bahana golongan wanita tersebut.

3. Mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya

Senario hari ini memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang menjadikan anak sebagai mangsa.

4. Tidak menghidu bau syurga

Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.

Sukar untuk Berubah

Ramai wanita yang menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan.

Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w berkenaan sahabat. Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena pada badannya.

Carilah sahabat yang menjual minyak wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.

Artikel oleh Ustaz Syed Nurhisham – Solusi Isu #21

10 Rancangan Kuffar Hancurkan Islam


Miyen, seorang pemimpin di Burma, “jangan biarkan orang-orang Islam bebas bergerak kerana mereka akan membangunkan kembali kerajaan Arab (kerajaan Islam).”


1) Lenyapkan sistem pemerintahan Islam.
2) Menghapuskan Al-Qur'an.
3) Hancurkan akhlak Muslim, fikiran, hubungan mereka dengan Allah dan bebaskan mereka mengikut hawa nafsu.
4) Lenyapkan kesatuan kaum Muslimin.
5) Ragukan kaum Muslimin terhadap agamanya.
6) Lemahkan bangsa Arab.
7) Dirikan negara diktator di dunia Islam.
8) Pisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan biarkan mereka hancur dengan barangan Barat.
9) Singkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya.
10) Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas.

Saturday, November 19, 2011

APA ERTI MENJADI ISTERI SOLEHAH?


Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai pandangan dan jawapan mampu kita tafsirkan, samada melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian pengalaman. Kita menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim.
Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.
Nabi Ibrahim : Siapakah kamu?

Menantu : Aku isteri Ismail.

Nabi Ibrahim : Di manakah suamimu, Ismail?
Menantu : Dia pergi berburu.
Nabi Ibrahim : Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?
Menantu : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah senang dan lapang.
Nabi Ibrahim : Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya menceraikan isterinya).
Menantu : Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.
Nabi Ismail : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?

Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.

Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah. Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.


Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar.
Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.
Nabi Ibrahim : Dimana suamimu?

Menantu : Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.

Nabi Ibrahim : Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?
Menantu : Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang.
Nabi Ibrahim : Baguslah kalau begitu.
Menantu : Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan sedikit makanan.
Nabi Ibrahim : Apa pula yang ingin kamu hidangkan?
Menantu : Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.
Nabi Ibrahim : (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah
berkat doa Nabi Ibrahim).
Nabi Ibrahim : Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampai- kan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).


Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?

Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.

Nabi Ismail : Apa katanya?
Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa jawapanmu?
Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri : Alhamdulillah, syukur.


Bagaimana pandangan pembaca tentang petikan sejarah ini? Kisah sejarah ini sungguh menyentuh jiwa. Anda juga tentu merasai dan mengalami sendiri ujian hidup berumahtangga yang sentiasa perlukan kesabaran.
Berpandukan sejarah tersebut, bolehlah kita tegaskan kepada diri sendiri bahawa isteri solehah itu sepatutnya ‘sabar di hati dan syukur pada wajah’. Daripada sini akan terpancar ketenangan setiap kali suami berhadapan dengan isteri solehah. Isteri solehah tidak cerewet dan tidak mudah merungut. Isteri solehah hendaklah sentiasa bersyukur dalam keadaan senang mahupun susah supaya Allah tambahkan lagi rahmat-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri solehah, ingatlah hadith Rasulullah yang bermaksud:
“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.”
(Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Begitulah, untuk menyediakan diri sebagai isteri solehah, hati kita hendaklah sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang rabbani. Contoh teladan yang sepatutnya jadi rujukan kita ialah sejarah kehidupan nabi serta orang soleh.

7 PEREMPUAN BERTANYA 1 ORANG LELAKI MENJAWAB

Kaum hawa selalu mengeluh dan melafazkan “susahnya jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah dan meletakkan kaum wanita dalam keadaan tertindas.

Keluhan remaja perempuan A:
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”

Keluhan isteri A:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”

Keluhan remaja perempuan B:
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”

Keluhan isteri B:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”

Keluhan isteri C:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”

Keluhan isteri D:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan remaja perempuan C:
“Wanita tak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.


Mereka sebenarnya membunuh wanita dan institusi kekeluargaan


Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”

Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sesiapa walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”

Beruntung perempuan ini


Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

Isteri kepada lelaki yang sedang berjihad menerima pahala jihad walaupun tidak turut sama dengan suaminya


Lelaki beriman bertanya, “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”

Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, “MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki.”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan tegakkan agamamu, nescaya syurga menanti.


Usahlah mengeluh kaum wanita. Sesungguhnya Allah swt sayang padamu

KELEBIHAN BERZIKIR SECARA SAINTIFIK

Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna.

Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari empat belas juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan enam belas juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dapat dikenal pasti melalui kaedah electroencephalography (EEG).

Kaedah EEG yang digunakan untuk mengenalpasti aliran bio-elektrik

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah S.W.T seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat daripada perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir otak tidak sebegini. Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Majalah Scientific American, Disember 1993

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Ujian imbasan PET

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Orang yang berzikir kepada Allah S.W.T ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering.”

Oleh itu saudara-saudaraku seislam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita sudahpun lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang rendah kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Tuesday, January 25, 2011

Bismillah...

Hai, x taulah cmner.... Sedih? Mmg sedih bila dipikirkan. X lama nnti, aq msk asrama. Jauh plak 2, kat Selangor. Nnti, mesti rindu kat family n kengkawan kat Tun Habab tu.... Tapi, nak wat cmner, kan? Demi Allah...... aq mesti mencapai wawasan 2020 aq...Insya allah....